Kereta terbakar, Abu Bakar Chik meninggal
duniaAhli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Abu Bakar
Chik dilapor meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di KM 390
Lebuh Raya Pantai Timur laluan Bukit Besi-Ajil jam 3.16 pagi tadi.
Beliau, 64, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu
sementara pembantunya Hasmizi Hasan, 18, cedera, lapor portal berita
PAS, Harakahdaily.
Portal itu melaporkan kereta yang dinaiki Abu Bakar melanggar sebuah van yang dinaiki enam penumpang.
Laporan itu juga menyebut, sejurus selepas Abu Bakar yang juga pengerusi
lajnah Pendidikan PAS Pusat dan Hasmizi dibawa keluar, kereta yang
dinaiki mereka itu terbakar.
Jenazah akan dibawa balik dari Hospital Hulu
Terengganu ke Maahad Tahfiz wal Tarbiyah (MTT) Tok Jiring untuk disolat
dan dikebumikan.
Bekas exco kerajaan negeri Terengganu itu meninggal seorang isteri Toh
Puan Zaitun Salleh dan lapan Orang - lima lelaki dan tiga perempuan.
Beliau pernah ditahan ISA pada 1984 hingga 1986 dan menjadi ketua Pemuda PAS dari 1989 hingga 1999.
Tokoh PAS itu juga pernah menjadi timbalan pesuruhjaya Terengganu
bermula 1999 hingga 2011 juga aktif dalam bidang kemasyarakatan dan
pendidikan.
Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Hulu
Terengganu DSP Hussin Deraman berkata kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi
itu berlaku ketika mangsa bersama pembantunya Hasmizi Hassan, 18, dalam
perjalalan dari arah Bukit Besi menuju ke Kuala Terengganu.Katanya kereta Toyota Camry yang dipandu
Hasmizi dipercayai merempuh sebuah sebuah van yang dinaiki lima
penumpang dari arah yang sama.
Isteri reda
"Ekoran daripada itu kita tidak menolak kemungkinan kereta yang dinaiki
mangsa hilang kawalan sebelum terbakar. Namun kedua-duanya berjaya
dikeluarkan sebelum kereta terbakar," katanya di Hulu Terengganu hari
ini.
Dalam kenyataannya, MP Kuala Nerus Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali
berkata solat jenazah akan berlangsung di maahad yang diasaskan oleh Abu
Bakar, selepas Asar.
"Saya menyeru seluruh tuan guru, para ulamak, para pejuang dan umat
Islam khususnya di Kuala Nerus hadir beramai-ramai sebagai hadiah buat
sang pejuang mujahid ummah," katanya.
Dalam laporan lain, Bernama turut melaporkan isteri
Allahyarham, Zaitun, 63, berkata beliau dimaklumkan suaminya akan pulang
pukul 9 malam ini selepas selesai menghadiri kuliah di Kuala Lumpur
namun tidak menyangka suaminya akan pulang lebih awal.
Katanya beliau terkejut selepas menerima berita suaminya terlibat dalam kemalangan awal pagi tadi.
Menurut beliau berita kemalangan yang menimpa suaminya diketahui pukul 5
pagi tadi selepas menerima panggilan telefon daripada anaknya
mengatakan arwah terlibat dalam kemalangan.
Sejurus selepas itu mereka bergegas ke Hospital Hulu Terengganu dan
semasa dalam perjalanan mereka dimaklumkan Allahyarham hanya mengalami
kecederaan ringan.
"Bagaimanapun, selepas itu anaknya memaklumkan suaminya telah meninggal
dunia, namun saya reda dengan pemergiannya," katanya ketika ditemui di
Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman.
Katanya arwah pergi ke Kuala Lumpur bersama pembantunya pada Jumaat
lepas dan setiap hari beliau akan menghubunginya namun arwah tidak
memaklumkan akan pulang awal seperti yang dijadualkan sebelum ini.
Jenazah dikebumikan di Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman di Tok Jiring petang ini.

No comments:
Post a Comment